Friday, January 6, 2012

Mujahadah diri.



 

Mujahadah berasal daripada perkataan jihad yang membawa maksud berusaha bersungguh-sungguh dengan mengeluarkan segala kekuatan dan kesanggupan. Mujahadah nafsu pula bermaksud memerangi hawa nafsu yang berada dalam diri kita.


Sebagaimana menurut Ibn Qayyim bahawa mujahadah nafsu itu ada lima jenis iaitu yang pertama ialah mujahadah dalam melawan apa yang diperintahkan oleh nafsu. Kedua, mujahadah diri dalam menuntut ilmu. Ketiga, mujahadah diri dalam mengamalkan apa yang dipelajari. Keempat, mujahadah dalam menyeru manusia kepada apa yang kita pelajari. Dan yang terakhir iaitu yang kelima ialah bersabar atas kesulitan-kesulitan dakwah.



Telah berkata salah seorang tokoh tabiin, “Musuh bagi diri ada tiga iaitu dunia, syaitan dan nafsu. Maka, perangilah dunia dengan cara zuhud kepadanya, dan perangilah syaitan dengan menangkisnya, serta perangilah nafsu dengan mujahadah.”


Ketahuilah, bahawa syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga dengan nafsu para musuh yang benci melihat kebangkitan Islam. Mereka tidak berasa lesu. Oleh kerana mereka adalah musuh yang tidak pernah berehat,  maka sewajarnya juga bagi kita untuk tidak berehat dalam mempertahankan diri.




Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut mood. Ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor. Bila kekotoran itu hanya dicuci sekali sekala, nescaya hasil yang diinginkan tidak tercapai atau sekadar cukup makan sahaja. Dan tidak mustahil, kotoran itu telah sebati dan tebal pada pakaian tersebut sehingga tidak dapat dilunturkan lagi. Begitulah juga dengan hati. Jika kita malas mencucinya dengan mujahadah, maka bertambah kotorlah ia hingga susah untuk dibersihkan lagi.


Oleh sebab itu, satu prinsip asas dalam mujahadah adalah istiqamah iaitu konsisten dalam memerangi hawa nafsu dan syaitan. Tuntasnya, mujahadah dan istiqamah itu merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.


Firman Allah:
“Oleh yang demikian, maka serulah mereka dan tetaplah sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu dan janganlah menurut hawa nafsu mereka.”(Surah As-Syura:15)



selamat bermuhajadah untuk diri ye..peringatan untuk diri ini jua.=)

kredit to:
Siti Farhah binti Mat Tahir, Tahun Tiga, Qiraat, Universiti Al-Azhar, Mansurah

-Terima Kasih Sudi Baca,Diharap Coretan Ini Bermanfaat Untuk Kita Semua-

No comments: