Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Dia ingin berubah. Dia ingin jadi seperti dahulu. Sentiasa
mengingati Allah, sentiasa takut akan azab-Nya, sentiasa taat pada
perintah-Nya, dan sentiasa jaga batas pergaulan. Dia yakin dan
percaya, perempuan yang dijaga oleh Allah, pasti tidak akan membenarkan
mana-mana tangan lelaki menyentuh dirinya.
Namun, takala dia merasakan dirinya cukup
bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan dirinya
dengan seorang lelaki yang menuntut balasan cinta. Dirinya dimewahkan dengan
kata-kata pujian, dengan gurindam rindu dan madah-madah cinta yang sebelum ini
tidak pernah meneroka hati dan jiwanya.
Dia percaya cinta dari Allah, tapi dia lupa
itu bukan caranya. Dia alpa. Hatinya sudah tidak seperti dahulu. Hatinya
dilimpahi rasa rindu si jejaka. Rindu si nafsu yang mengwar-warkan kemanisan cinta
manusia. Bukan dia tidak sedar dia sudah berubah, bukan juga dia tidak sedar
bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah semakin menjauhi.
Dia menutup kesedaran itu dengan janji dan kata-kata cinta si jejaka.
Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya
rapuh, syaitan menari-nari tatkala dia membenarkan tangan rakus si jejaka
menyentuh dirinya bersama alunan syahdu janji kekasih. Tempat yang sepatutnya
dia jaga, didedahkan. Kononnya yakin si jejaka adalah suaminya.
Tidakkah dia takut dengan dosa atau dengan
azab Allah?. Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayangnya pada jejaka itu
mulai melebihi segalanya. Namun, syukur pada Allah, Allah masih sayang padanya.
Jejaka itu gagal menawan mahkota dirinya. Saat dirinya berutus cinta, dia masih
lagi solat, dia tidak lupa tanggungjawabnya. Namun mungkin solatnya masih tidak
sempurna lalu robohlah benteng imannya dipukul ombak nafsu cinta manusia.
Allhamdullilah. Allah menurunkan hidayah
pada dirinya. Di saat jejaka menyepikan diri seketika, dirinya dilanda rasa
berdosa. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan, mengalir air mata
kekesalan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun untuk bersolat taubat.
Menangislah dirinya sepuas-puasnya. Dia memohon petunjuk pada Allah, dia ingin
kembali, kembali atas cinta. Demi cinta Allah yang tidak pernah berpaling dari
hidupnya dia nekad untuk berubah. Namun hatinya sedikit takut akan janji Allah.
"Wanita
yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya."
Apa yang patut dia lakukan kini. Dia mula
merasakan dia bukan dari kalangan wanita yang baik-baik. Tidak layak untuk
sesiapa. Dia menutup pintu hatinya seketika dari cinta manusia yang bernafsu
yang mengeruhkan kolam keimanannya yang pasang surut. Sehingga ditakdirkan
Allah untuk dirinya bertemu dengan seseorang yang mencintainya kerana Allah.
"Demi
cinta Allah yang ku kejar, kuatkan hatiku untuk bertahan, berikan ku kecerdasan
akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasaMu, hulurkan pertolonganMu di
saat-saat aku hampir tewas, sinarkan nur hidayahMu untuk aku terus di jalanMu.
Ya Allah! Aku memohon keampunan kepadaMu."
1 comment:
suka ini. =D
Post a Comment