Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Sakinah merenung kembali masa silamnya yang telah lama
ditinggalkan. Kini, Sakinah keseorangan menyendiri. Tiada lagi istilah 'couple'
dalam hidupnya. Segalanya telah dibuang jauh. Akan tiba masanya untuk Sakinah
berteman. Teman yang halal yang akan memimpin tangannya sepanjang jalan. Teman
yang bergelar suami yang akan bersama Sakinah menempuh ranjau dan duri dunia.
Pada mata kasar manusia, Sakinah seorang
gadis yang bertemankan sepi. Sepi pada pandangan kasar mereka namun hakikatnya
Sakinah sangat bahagia bertemankan sinar dan kasih Ilahi. Sakinah tahu, dia
telah mengambil keputusan yang tepat. Daripada berterusan membiarkan hati
bertemankan lara yang tiada penghujung dan kasih yang mengundang dosa dan murka
Si Khaliq, Sakinah rela melepaskan segalanya. Walaupun pada awalnya Sakinah
begitu lara dan menangisi nasibnya namun akhirnya Sakinah sedar, Allah adalah
As-Syifa, yang Maha Menyembuhkan.
Waktu itu, hatinya sakit sekali bak ditusuk
oleh duri sembilu yang amat tajam. Perasaannya terguris dan hatinya luka
berdarah tatkala menerima perkhabaran itu daripada Rafiq. Kepiluan yang
dirasakan jua amat mendalam sekali. Kesedihan yang dilaluinya dirasakan amat
panjang dan dipenuhi dengan deraian air mata. Hatinya sakit apabila diuji
sekian rupa. Tidak putus-putus dirinya menangisi nasib diri. Sering sahaja
Sakinah mengeluh andai sahaja aku tidak mengungkapkan kata-kata perpisahan ini,
andai sahaja aku tidak mengenalinya dan sebagainya.
Fikirannya menjadi tidak rasional, hampir
sahaja ucapan perpisahan mahu ditarik kembali. Tipu daya syaitan dan kemahuan
nafsunya membuatkan Sakinah hampir hilang pertimbangan. Mujur, pertolongan Allah
sampai kepadanya. Ia datang dalam pelbagai rupa. Keprihatinan yang ditunjukkan
oleh adik-beradik dan sahabat-sahabat Sakinah membuatkan Sakinah kembali
tersedar. Perlahan-lahan ucapan syukur dilafazkan ke hadrat Ilahi.
Sakinah kembali bersujud kepada Allah SWT.
Di dalam sujud Sakinah menangis syahdu. Taubat dilakukan sesungguh hati. Pada
Ilahi segala rasa yang terbuku di hati Sakinah luahkan. Kalamullah kembali
diselak dan ditadabbur maksudnya. Bagaikan terasa Allah berkomunikasi
dengannya. Hatinya dipagut sayu. Sakinah menangis teresak-esak sambil memeluk
tafsir Al-Quran kesayangannya. Kini, Sakinah mengetahui betapa besar kasih
sayang Allah terhadapnya.
Semenjak itu, hari-hari Sakinah ditemani
tafsir itu. Tatkala hati tidak tenang, kalimah zikir dan istighfar Sakinah
alunkan. Deraian air mata sentiasa berguguran setiap kali usai berdoa. Di dalam
doanya Sakinah meminta kepada Ilahi supaya diteguhkan hati menghadapi hari
depan yang mencabar. Adakala hati terlalu lelah, ingin sahaja Sakinah jeritkan
sekuat hati akan lara yang mendiami hati. Laungan takbir sentiasa diulang-ulang
Sakinah. Jika Sakinah terasa berat akan derita yang menghuni hati, Sakinah akan
segera mengingati kesusahan insan lain yang lebih hebat derita darinya.
Setiap kali hati Sakinah gundah, tafsir itu
yang sentiasa dibukanya. Dari situ Sakinah menemui perasaan damai yang tidak
dapat Sakinah gambarkan. Sakinah mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana telah
menggantikan cinta yang lebih baik kepadanya. Itulah cinta Ilahi, cinta yang
sentiasa dlimpahkan kepadanya tetapi jarang sekali dihargainya.
Doa tetap diutuskan buat Rafiq. Semoga
Allah memberikan keteguhan iman kepadanya dan semoga Islam berkembang maju di
negara tulip itu. Tidak pernah ada sekelumit dendam pun di hati Sakinah malah
Sakinah sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Rafiq. Rafiq adalah saudara
seagamanya. Tidak mungkin Sakinah mendoakan yang buruk-buruk buat Rafiq.
Sekian waktu telah berlalu, Sakinah kini
lebih tenang dan sabar. Jika dahulunya Sakinah adalah seorang yang perengus
namun kini tidak lagi. Ujian yang datang banyak menyedarkan Sakinah akan
hakikat kehidupan dan rahmat Allah SWT. Kasihnya kini didekasikan buat
Al–Khaliq dan kekasihnya, Rasulullah SAW.
"Ya Allah, ku dedikasikan seluruh
hidupku untukmu. Tiada lara mahupun duka kini di dalam hatiku kerana telah ku
pelajari nikmat ujian dan kesabaran. Tidak aku sesali diuji begini kerana kini
aku lebih menghargai cintaMu terhadapku. Ya Ghafur, aku rela diuji begini andai
dengan cara ini aku lebih mengenali dan mencintaimu. Aku pasrahkan segalanya
kepadaMu. Ku serahkan urusan hidupku dan matiku hanya untukMu kerana hanya
engkau Yang Maha Kuasa di atas segalanya."
2 comments:
cerita yang menarik..tq sharing:)
indah kn kasih Nya~ ^^
Post a Comment