Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Kadangkala
kita terlupa apakah hakikat cinta yang sebenar. Jika dijadikan subjek cinta
sebagai perbualan pasti ramai yang lebih gemar untuk berkongsi berkenaan cinta
antara manusia, yakni cinta antara sepasang kekasih.Tetapi berapa ramaikah diantara kita yang berkongsi suka dan duka
tentang cinta antara dia dan penciptaNya? Dan pasti, ramai yang tidak gemar
berkongsi cerita tentang cinta agung yang tiada tandingan ini kerana mereka
tidak merasai kemanisan mencintai penciptaNya kerana kelemahan iman kita
sendiri.
Jika kebiasaan cinta manusia, apabila seseorang mencintai
kekasihnya ia pasti akan memberikan yang terbaik bagi pasangannya selagi ia
terdaya dan cuba sedaya upaya untuk mengembirakannya dan tidak mahu kekasihnya
dirundung rasa kesedihan. Itulah kebiasaannya cinta manusia. Namun, bagaimana
pula caranya Allah menunjukkan rasa cinta kepada hambaNya?
Mereka yang dekat dengan Allah, menerima ujian yang sangat hebat
kerana dengan cara inilah Alllah mencintai kekasihNya. Lihat sahaja bagaimana
Allah Azzawajjala menguji kekasihnya Rasullah S.A.W dengan pelbagai ujian.
Allah tidak memberikan jalan mudah untuk kepada Rasullah S.A.W untuk berjaya
dalam usaha dakwah baginda di Mekah dan Madinah meskipun baginda adalah kekasihNya.
Begitu juga dengan ujian sakit yang berpanjangan yang diterima oleh Nabi Allah
Yaakub dan ujian yang Allah turunkan kepada Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail
apabila turunnya perintah supaya Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail.
Mengapa apabila semakin dekat kita dengan Allah Yaa Rabbul
Izzati, semakin tinggi ujian yang Allah timpakan? Kerana dengan cara ini Allah
mencintai hambaNya.
Firman Allah :
Patutkah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami
beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi
sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka,
maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang
orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya
akan orang-orang yang berdusta.
[Al-Ankabut: 2-3]
Hebatnya dan luar biasanya cinta Allah
apabila Dia menggunakan ujian dan dugaan yang diturunkan kepada hambaNya untuk
melihat tingkat ketaqwaan dan kekuatan iman hambaNya. Percayalah, apabila
diturunkan ujian kepada kita walau seberat mana sekalipun Allah ada bersama
kita. Allah tidak memerlukan kita, tetapi kita memerlukan Allah dan Allah
sangat mencintai dan menyukai apabila hambaNya sujud, menangis, merintih dan
meminta pertolongan dariNya. Unik dan luar biasa bukan cara Allah menunjukkan
rasa cinta kepada hambaNya? Kerana dengan cara ini Allah mencintaimu.
1 comment:
Alhamdulillah.. thanks ya sis.. peringatan yang bagus untuk una juga..
Post a Comment