Friday, May 18, 2012

Kerana Dengan Cara Ini Allah Mencintaimu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
alt
Kadangkala kita terlupa apakah hakikat cinta yang sebenar. Jika dijadikan subjek cinta sebagai perbualan pasti ramai yang lebih gemar untuk berkongsi berkenaan cinta antara manusia, yakni cinta antara sepasang kekasih.Tetapi berapa ramaikah diantara kita yang berkongsi suka dan duka tentang cinta antara dia dan penciptaNya? Dan pasti, ramai yang tidak gemar berkongsi cerita tentang cinta agung yang tiada tandingan ini kerana mereka tidak merasai kemanisan mencintai penciptaNya kerana kelemahan iman kita sendiri.
Jika kebiasaan cinta manusia, apabila seseorang mencintai kekasihnya ia pasti akan memberikan yang terbaik bagi pasangannya selagi ia terdaya dan cuba sedaya upaya untuk mengembirakannya dan tidak mahu kekasihnya dirundung rasa kesedihan. Itulah kebiasaannya cinta manusia. Namun, bagaimana pula caranya  Allah menunjukkan rasa cinta kepada hambaNya?
Mereka yang dekat dengan Allah, menerima ujian yang sangat hebat kerana dengan cara inilah Alllah mencintai kekasihNya. Lihat sahaja bagaimana Allah Azzawajjala menguji kekasihnya Rasullah S.A.W dengan pelbagai ujian. Allah tidak memberikan jalan mudah untuk kepada Rasullah S.A.W untuk berjaya dalam usaha dakwah baginda di Mekah dan Madinah meskipun baginda adalah kekasihNya. Begitu juga dengan ujian sakit yang berpanjangan yang diterima oleh Nabi Allah Yaakub dan ujian yang Allah turunkan kepada Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail apabila turunnya perintah supaya Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail.
 
Mengapa apabila semakin dekat kita dengan Allah Yaa Rabbul Izzati, semakin tinggi ujian yang Allah timpakan? Kerana dengan cara ini Allah mencintai hambaNya.
Firman Allah :
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.
[Al-Ankabut: 2-3] 

Hebatnya dan luar biasanya cinta Allah apabila Dia menggunakan ujian dan dugaan yang diturunkan kepada hambaNya untuk melihat tingkat ketaqwaan dan kekuatan iman hambaNya. Percayalah, apabila diturunkan ujian kepada kita walau seberat mana sekalipun Allah ada bersama kita. Allah tidak memerlukan kita, tetapi kita memerlukan Allah dan Allah sangat mencintai dan menyukai apabila hambaNya sujud, menangis, merintih dan meminta pertolongan dariNya. Unik dan luar biasa bukan cara Allah menunjukkan rasa cinta kepada hambaNya? Kerana dengan cara ini Allah mencintaimu.
 



-Terima Kasih Sudi Baca,Diharap Coretan Ini Bermanfaat Untuk Kita Semua-

1 comment:

CikUna said...

Alhamdulillah.. thanks ya sis.. peringatan yang bagus untuk una juga..