Dengan Nama Alah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
Sebelum ini, telah
disebutkan kepada kita bahawa dengan zikrullah itu hati kita akan tenang dengan
perkara-perkara dunia. Ia membawa maksud selagi hati kita dapat terhubung
dengan Tuhan, nescaya diri kita tidak dapat dipengaruhi dengan perkara-perkara
dunia yang melalaikan serta menyusahkan.
Begitulah yang kita diberitahu. Namun,
bagaimana boleh dihubungkan kedua-duanya iaitu dengan zikrullah, boleh kita
dapat ketenangan dunia? Bagaimana zikrullah itu boleh menenggelamkan rasa
bimbang, risau, cemas dan takut kita kepada perkara dunia? Mana tidaknya,
sakit, miskin, hilang jawatan, dimaki atau dicerca orang, dan berbagai lagi
musibah dunia, bukankah ia menyusahkan? Bukankah itu menggugat hati sehingga
datang bimbang, cemas dan takut? Oleh itu marilah kita perhatikan hubungkait
antara keduanya agar benar-benar kita faham bagaimana zikrullah boleh menjadi
penawar kepada kesusahan dunia.
Di sini, zikrullah itu membawa pengertian mengingati Allah dalam ertikata yang
hati itu dapat menghayati sifat-sifat dan peranan Tuhan. Dibawakan contoh,
katakan seorang itu miskin. Dia selalu kesempitan wang. Dia nak makan pun
susah. Nak belanja-belanja keluarga pun susah. Tapi, oleh kerana hatinya sudah
menghayati Tuhan, dia dapat merasakan Tuhan Maha Pemberi Rezeki.
Pada Tuhan,
dia bertawakal. Dengan bersandarkan pada sifat Tuhan Maha Pemberi Rezeki, dia
jadi yakin. Dia jadi orang yang boleh tenang menghadapi kemiskinan. Dia tahu
rezeki Tuhan itu luas dan Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya. “InsyaAllah,
Tuhan ada, Dialah yang Maha memberi rezeki”, kata hati kecilnya. Dia berusaha
juga tapi dia tidak bergantung pada usahanya. Bagi dia rezeki Tuhan ada di
mana-mana dan sudah ditetapkan bahagian untuk orang sepertinya.
Contoh lain, seorang itu jatuh sakit. Sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak
tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu terganggu. Malah
kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu hendak bersembahyang pun
terganggu juga.
Namun, seorang yang berzikrullah, dapat merasakan Tuhan yang
memberi sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar
kepada kesusahan sakitnya selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Tuhan
yang memberi sakit dan Tuhan jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti
keyakinan itu menjadikan dia faham maksud Tuhan memberi sakit kepadanya. Sudah
pasti juga dia faham bahawa kalau Tuhan kehendaki, bila-bila masa Tuhan boleh
sembuhkan. Tinggal lagi yang menjadi soal bukan tempoh lama atau sekejap masa
sakit, atau soal ringan atau berat ujian sakit. Soalnya adalah sejauhmana kuat
hubungannya dengan Tuhan sehingga sakit itu boleh menjadi hiburan kepadanya.
Sakit bukan sakit lagi tetapi dirasakan sebagai hiburan dari Tuhan kepada
hambanya.
Yang paling besar juga, kesusahan dalam miskin dan sakit itu boleh dihadapi
dengan tenang kerana dia sudah merasa dirinya itu dimiliki Tuhan. Inilah
sebahagian daripada zikrullah. Rasa dimiliki Tuhan ini membuatkan seseorang itu
menyerah hati dan dirinya kepada Tuhan. Dia merasakan Tuhan boleh buat apa
sahaja terhadap dirinya kerana dia adalah milik Tuhan.
Sebagai hamba Tuhan yang
dimiliki Tuhan, terpulanglah kepada Tuhan nak sakitkan, nak miskinkan atau nak
susah-susahkan hidupnya di dunia. Berhak bagi Tuhan berbuat begitu. Hatinya
boleh berkata, “tidak sekali-kali bagi seorang hamba boleh menolak apa sahaja
ketentuan dari Tuhannya.” Berbahagialah orang yang boleh merasakan sedemikian.
Di situlah datangnya ketenangan kepada orang seperti itu. Asasnya adalah zikrullah
tadi.
Begitulah kisahnya, jika seseorang sudah dapat menghayati sifat Tuhan. Hatinya
akan sentiasa dalam ketenangan bilamana menghadapi perkara-perkara dunia yang
melalaikan serta menyusahkan. Hatinya tidak cacat atau terpengaruh dengan dunia
tersebut disebabkan kuat rasa-rasa hatinya dengan Tuhan. Banyak lagi contoh
yang boleh disebutkan di sini tetapi cukuplah dengan dua contoh di atas untuk
panduan kita bersama.
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
"zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh
kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
(Ar-Rad: 28-29)
Dialah yang menurunkan Sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang-orang yang
beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan
keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan
bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana. (Al-Fath: 4)
"Carilah hatimu di tiga
tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau
temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau
carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga,
maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika
itu kau tidak mempunyai hati!"
cc:
1 comment:
nice one :)
Post a Comment