Wednesday, August 29, 2012

Bahagia Sebenar


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
alt
"Nampak 'happy' bahagia memanjang, tak pernah rasa 'down' atau memang tak pernah sedih? Macam mana boleh sentiasa tenang? Tak pernah stress?"
Itulah antara soalan yang sering ditanya kepada saya. Mungkin sebab selalu nampak saya memilih untuk senyum dan ketawa.
Tipulah kalau dalam sepanjang hidup ini kita tak pernah langsung rasa sedih, 'down', kecewa, 'frust', stres dan lain-lain. Tipu sangat. Sejujurnya, jika saya lihat kepada kehidupan saya selama 23 tahun ini, ada terlalu banyak sebab untuk kecewa atau 'frust' atau sentiasa sedih. Mungkin ramai susah hendak percaya, tapi itulah hakikatnya.
Setiap kali jatuh, kita tak pernah keseorangan, ada orang lagi teruk daripada kita, lagi mencabar daripada kita. Inilah cara yang saya guna setiap kali berhadapan dengan kecewa, 'frust' atau pun kesedihan. Seteruk mana pun 'jatuh' kita dalam apa perkara sekali pun, lagi ramai yang lebih mencabar 'kejatuhan'nya tapi tetap bangkit dan terus berjalan.
Apa kata kita jadikan mereka inspirasi? Saat-saat begini, apa yang penting ialah cara pemikiran kita, cara kita menerima dan cara kita 'deal' dengan sesuatu 'kejatuhan' itu. Takkan nak terus hanyut dengan kejatuhan? Nak terus hilang saat kekecewaan?
Antara apa yang termampu dan boleh saya kongsi ialah:
1) Sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik dalam kehidupan/orang lain. Jauhi tanggapan negatif. Susah? Ya, tapi sedarlah kita sendiri tidak sempurna semuanya.

2) Senyum sentiasa, cari/buat perkara yang boleh buat kita tersenyum dalam satu hari itu. Susah? Saat pertama kali buka mata pada pagi hari, ucapkan Alhamdulillah dan senyumlah kepadaNya, yang masih sudi memberi kita nyawa dan kehidupan.

3) Sentiasa menerima apa jua dengan hati yang terbuka. Masalah, kritikan mahupun pujian. Susah? Terimalah setiap kritikan demi memperbaiki diri menjadi lebih baik, pujian sebagai tanggungjawab dan amanah yang diharapkan dan masalah pula sebagai cabaran untuk jadi lebih baik.

4) Ketepikan memikirkan perkara yang remeh dan kecil yang tidak langsung memberi kesan yang baik dalam kehidupan kita. Susah? Tidak, kurangkan mengambil tahu perkara yang tidak membawa kebaikan kepada kehidupan kita, apatah lagi perkara yang kadang-kadang hanya mempunyai unsur negatif dan aib.

5) Memilih untuk membaca/melihat/menonton bahan yang positif dan berunsurkan ilmiah. Susah? Tidak. Paling mudah, mulakan dengan 'follow' mereka yang berkata-kata dengan kualiti dan baik seperti di Twitter. Sekurang-kurangnya, setiap kali membaca memberi kesan dan ingatan kepada kita.

6) Bergaul dengan mereka yang sentiasa positif dan sentiasa berkata serta beramal baik. Susah? Nanti tak ramai kawan? Tidak. Berkawanlah seramai mana sekalipun tetapi jadikan yang baik dan betul daripada mereka itu rujukan. Berpegang teguhlah kepada prinsip diri sendiri dalam berkawan.

7) Lupakan mencari kesalahan dalam sesuatu perkara tetapi jelaskan kebaikan sesuatu. Susah? Sebab sentiasa nampak semua orang salah dan kita betul? Lihat dan cermin kembali diri kita. Jangan mudah rasa diri cukup sempurna dan sentiasa betul.

8) Memberi sokongan kepada orang sekeliling dalam apa jua yang mereka lakukan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan jauhilah walau sekelumit pun perasaan kurang senang ataupun dengki. Susah? Nanti dia lagi berjaya? Bukankah setiap rezeki kita sudah ditentukanNya? Berusaha dan motivasikan diri sendiri untuk mencapai sesuatu.

9) Sentiasa mengamalkan gaya dan cara hidup yang betul dan positif. Jangan sesekali melanggar fitrah sesuatu yang telah ditetapkan. Susah? Ingat, setiap perkara yang kita lakukan sekarang, ialah tanggungjawab kita kelak.

10) Sentiasa tenang dalam membuat keputusan, fikirkan kesan akan datang yang bakal menyusul daripada setiap tindakan kita. Perlu berani di dunia maju? Ya, benar, tapi jangan sampai pada masa akan datang, sesuatu itu mampu mengaibkan kita.

11) Jangan takut untuk 'jatuh' dan sentiasa melihat 'ke bawah'. Bersyukurlah. Apa jua yang kita hadapi hari ini, walau sesukar mana pun, barangkali boleh menjadi impian buat orang lain.

12) Yang paling penting, sentiasa dekatkan hati denganNya. Sentiasa ingat, DIA sentiasa melihat kita dan DIA mahu kita sentiasa lurus di jalanNya agar bahagia kita itu bahagia yang menenangkan. Susah? Belum rasa 'rasa' itu? Carilah Allah. DIA sedang menanti kita. DIA rindukan kita.
Sejujurnya bahagia yang ditemani ketenangan itulah erti bahagia yang sebenar. Bahagia yang berpanjangan, bahagia yang cukup membahagiakan. Tapi kita perlu ingat, ketenangan hanya akan hadir apabila Allah SWT kurniakan rasa itu, rasa apabila setiap perkara yang kita lakukan ada redha dan berkat daripadaNya. Itulah erti bahagia yang sebenar.
Sentiasa percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya juga mampu membuat kita terus tenang dan terus berjalan meneruskan kehidupan untuk mencari redhaNya. Percayalah bahawa Allah telah merancang setiap perkara yang terbaik buat semua hambaNya. Dengan itu, apa jua yang datang, kita akan hadapi dengan senyuman.
"Attach your heart to God and you will never be let down." (Imam Zaid Shakir)



-Terima Kasih Sudi Baca,Diharap Coretan Ini Bermanfaat Untuk Kita Semua-

2 comments:

Noraim said...

sy selalu rasa down kak, tp mbila tgk org lain lg teruk, rasa syukur sgt. sy down takde teruk sgt kalau nk compare dgn org lain.

LelakiSemalam said...

kool sahaja...