Thursday, August 2, 2012

Cinta Sakinah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
alt
Sakinah merenung kembali masa silamnya yang telah lama ditinggalkan. Kini, Sakinah keseorangan menyendiri. Tiada lagi istilah 'couple' dalam hidupnya. Segalanya telah dibuang jauh. Akan tiba masanya untuk Sakinah berteman. Teman yang halal yang akan memimpin tangannya sepanjang jalan. Teman yang bergelar suami yang akan bersama Sakinah menempuh ranjau dan duri dunia.
Pada mata kasar manusia, Sakinah seorang gadis yang bertemankan sepi. Sepi pada pandangan kasar mereka namun hakikatnya Sakinah sangat bahagia bertemankan sinar dan kasih Ilahi. Sakinah tahu, dia telah mengambil keputusan yang tepat. Daripada berterusan membiarkan hati bertemankan lara yang tiada penghujung dan kasih yang mengundang dosa dan murka Si Khaliq, Sakinah rela melepaskan segalanya. Walaupun pada awalnya Sakinah begitu lara dan menangisi nasibnya namun akhirnya Sakinah sedar, Allah adalah As-Syifa, yang Maha Menyembuhkan.
Waktu itu, hatinya sakit sekali bak ditusuk oleh duri sembilu yang amat tajam. Perasaannya terguris dan hatinya luka berdarah tatkala menerima perkhabaran itu daripada Rafiq. Kepiluan yang dirasakan jua amat mendalam sekali. Kesedihan yang dilaluinya dirasakan amat panjang dan dipenuhi dengan deraian air mata. Hatinya sakit apabila diuji sekian rupa. Tidak putus-putus dirinya menangisi nasib diri. Sering sahaja Sakinah mengeluh andai sahaja aku tidak mengungkapkan kata-kata perpisahan ini, andai sahaja aku tidak mengenalinya dan sebagainya.
Fikirannya menjadi tidak rasional, hampir sahaja ucapan perpisahan mahu ditarik kembali. Tipu daya syaitan dan kemahuan nafsunya membuatkan Sakinah hampir hilang pertimbangan. Mujur, pertolongan Allah sampai kepadanya. Ia datang dalam pelbagai rupa. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh adik-beradik dan sahabat-sahabat Sakinah membuatkan Sakinah kembali tersedar. Perlahan-lahan ucapan syukur dilafazkan ke hadrat Ilahi.
Sakinah kembali bersujud kepada Allah SWT. Di dalam sujud Sakinah menangis syahdu. Taubat dilakukan sesungguh hati. Pada Ilahi segala rasa yang terbuku di hati Sakinah luahkan. Kalamullah kembali diselak dan ditadabbur maksudnya. Bagaikan terasa Allah berkomunikasi dengannya. Hatinya dipagut sayu. Sakinah menangis teresak-esak sambil memeluk tafsir Al-Quran kesayangannya. Kini, Sakinah mengetahui betapa besar kasih sayang Allah terhadapnya.
Semenjak itu, hari-hari Sakinah ditemani tafsir itu. Tatkala hati tidak tenang, kalimah zikir dan istighfar Sakinah alunkan. Deraian air mata sentiasa berguguran setiap kali usai berdoa. Di dalam doanya Sakinah meminta kepada Ilahi supaya diteguhkan hati menghadapi hari depan yang mencabar. Adakala hati terlalu lelah, ingin sahaja Sakinah jeritkan sekuat hati akan lara yang mendiami hati. Laungan takbir sentiasa diulang-ulang Sakinah. Jika Sakinah terasa berat akan derita yang menghuni hati, Sakinah akan segera mengingati kesusahan insan lain yang lebih hebat derita darinya.
Setiap kali hati Sakinah gundah, tafsir itu yang sentiasa dibukanya. Dari situ Sakinah menemui perasaan damai yang tidak dapat Sakinah gambarkan. Sakinah mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana telah menggantikan cinta yang lebih baik kepadanya. Itulah cinta Ilahi, cinta yang sentiasa dlimpahkan kepadanya tetapi jarang sekali dihargainya.
Doa tetap diutuskan buat Rafiq. Semoga Allah memberikan keteguhan iman kepadanya dan semoga Islam berkembang maju di negara tulip itu. Tidak pernah ada sekelumit dendam pun di hati Sakinah malah Sakinah sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Rafiq. Rafiq adalah saudara seagamanya. Tidak mungkin Sakinah mendoakan yang buruk-buruk buat Rafiq.
Sekian waktu telah berlalu, Sakinah kini lebih tenang dan sabar. Jika dahulunya Sakinah adalah seorang yang perengus namun kini tidak lagi. Ujian yang datang banyak menyedarkan Sakinah akan hakikat kehidupan dan rahmat Allah SWT. Kasihnya kini didekasikan buat Al–Khaliq dan kekasihnya, Rasulullah SAW.
"Ya Allah, ku dedikasikan seluruh hidupku untukmu. Tiada lara mahupun duka kini di dalam hatiku kerana telah ku pelajari nikmat ujian dan kesabaran. Tidak aku sesali diuji begini kerana kini aku lebih menghargai cintaMu terhadapku. Ya Ghafur, aku rela diuji begini andai dengan cara ini aku lebih mengenali dan mencintaimu. Aku pasrahkan segalanya kepadaMu. Ku serahkan urusan hidupku dan matiku hanya untukMu kerana hanya engkau Yang Maha Kuasa di atas segalanya."


-Terima Kasih Sudi Baca,Diharap Coretan Ini Bermanfaat Untuk Kita Semua-

2 comments:

Nieza said...

cerita yang menarik..tq sharing:)

senyumSOYA said...

indah kn kasih Nya~ ^^